BUDAYA mengislamkan cinta sebelum nikah; lalu menghalalkan chatting, bergayut, couple, dating antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram, dimulakan dengan salam, diakhiri dengan salam, ada pula yang berchatting dalam bahasa Arab agar kelihatan betapa islamiknya cinta mereka.
Hal ini cukup bahaya kerana ia mengandungi racun yang tersembunyi.
Ini bukan cinta Islam sebaliknya adalah cinta dorongan hawa nafsu dan bisikan-bisikan syaitan. Secara tegas, perhubungan antara lelaki dan perempuan sebelum kahwin sama ada bercouple, dating, berSMS, berWhatsApp, atau cara tradisional dengan telefon, hal ini adalah bercanggah dengan syariat Islam. Maka ia adalah haram kerana ia bertaklid kepada budaya orang kafir.
Perbuatan ini dilakukan akibat kejahilan dan ambil mudah terhadap hukum-hakam syarak di samping sikap ibu bapa yang tidak menunaikan tanggungjawab mereka mendidik serta mentarbiah anak dengan ajaran Islam.
Walhal syariat Islam secara jelas mewajibkan ke atas ibu bapa secara khasnya supaya mentarbiah anak sebaik-baiknya dan memberikan pemahaman terhadap hukum-hakam Islam secara umumnya. Rasulullah SAW bersabda: “Setiap kamu bertanggungjawab dan setiap kamu akan disoal atas orang yang di bawah tanggungannya.” (Riwayat Bukhari & Muslim)
Mukadimah zina
Syariat Islam secara tegas melarang yakni mengharamkan segala perbuatan yang menghala kepada perzinaan. Firman ALLAH SWT, “Dan jangan kamu dekati zina, sesungguhnya ia adalah perbuatan yang keji dan jalan yang membawa kerosakan.” (Surah Al-Isra’: 32)
Dalam ayat agung ini menunjukkan bukan zina itu sahaja yang dilarang, tetapi segala jalan, perbuatan yang membawa kepada zina itu. Syarak menitikberatkan semua aspek ini. Di samping diharamkan zina, syarak turut mengharamkan segala jalan yang boleh membawa kepadanya.
ALLAH berfirman yang bermaksud: “Katakanlah kepada lelaki yang beriman supaya mereka menundukkan pandangan mereka, dan memelihara kemaluannya” (Surah An Nur: 30). Menundukkan pandangan adalah menjaga pandangan daripada melihat benda haram dan menjaga kemaluan.
Ditegaskan juga kewajipan menundukkan pandangan ini bukan ke atas lelaki sahaja, bahkan ke atas wanita juga. ALLAH berfirman: “Dan katakanlah kepada wanita yang beriman supaya mereka menundukkan pandangan mereka, dan menjaga kemaluan mereka.” (Surah Al-Nur: 31)
Nabi Muhammad SAW bersabda: “Telah ditakdirkan atas setiap anak Adam bahagiannya daripada zina, tidak ada yang dapat menghalangnya. Kedua mata zinanya adalah melihat. Kedua telinga zinanya adalah mendengar. Lidah zinanya adalah bercakap.
Tangan zinanya adalah menyentuh. Kaki zinanya adalah berjalan. Dan hati itu bergolak serta berkeinginan, dan kemaluan itu akan membenarkannya atau mendustakannya.” (Riwayat Bukhari & Muslim)
Ini menunjukkan zina boleh terjadi pada seluruh anggota. Ini adalah mukadimah, dan kemaluan itu membenarkannya atau menafikannya. Itu adalah kemuncaknya, iaitu persetubuhan haram itu sendiri.
Ini dapat difahami sebagai Sunnatullah Al-Kauniyyah; ketetapan takdir pasti terjadi di mana setiap manusia tak dapat menyelamatkan anggota badannya daripada zina.
Bagaimanapun, di samping Sunnatullah Al-Kauniyyah, ada pula Sunnatullah Al-Syar’iyyah; iaitu ketetapan syarak. Harus dibezakan keduanya. Ketetapan takdir mengatakan hal itu pasti terjadi; anggota itu pasti terkena zina. Tetapi pada masa sama, ketetapan syarak menegah kita dari melakukannya.
Mukadimah zina ini semua perlu dihindari. Daripada Umar bin Al-Khattab RA,Nabi Muhammad SAW bersabda: “Tidaklah seorang lelaki berdua-duaan dengan seorang wanita, kecuali yang ketiga adalah syaitan.” (Riwayat Ahmad, Tirmizi & Hakim( Sahih))
Apa yang dilakukan oleh syaitan? Tidak lain dan tidak bukan, syaitan akan terus membisikkan dan menyemarakkan lagi api perzinaan itu, supaya diteruskan sehingga sampai kepada kemuncak zina itu, wal-‘iyyadzu billah (kita meminta perlindungan daripada ALLAH).
Oleh itu, kita perlu betulkan persepsi, jangan ingat zina itu persetubuhan haram sahaja. Tidak. Mukadimah ini termasuk zina. Pepatah Arab mengatakan, “Zina itu pandangan, lalu senyuman, lalu salam, lalu berbual-bual, lalu pertemuan.”
Pertemuan adalah babak terakhir sebelum perzinaan. Kita semua setuju zina adalah seburuk-buruk perkara dan kita tidak mahu terjatuh dalam kancah perzinaan itu.
Jadi kita kena menjaga batas pergaulan dan menjauhi mukadimah. Ini kerana khuatir tidak semena-mena tanpa kita sedar telah sampai ke penghujung babak perzinaan itu, dan bila sampai ke tahap itu, mungkin tidak ada yang dapat menghalangnya lagi.
Segera kahwinkan anak
Ibu bapa perlu mengambil perhatian keutamaan dikahwinkan anak itu dengan segera. Ini amalan salaf terdahulu, yang mana pada zaman ini seakan-akan diabaikan.
Dewasa ini, keutamaan diberikan kepada perkara duniawi, manakala kewajipan berkahwin itu dikesampingkan. Inilah yang menjadi punca budaya couple dan dating.
Rasulullah SAW bersabda:“Wahai pemuda, barang siapa yang memiliki kemampuan, hendaklah dia berkahwin. Kerana ia akan mampu menundukkan pandangan dan menjaga kemaluan. Dan barang siapa yang belum mampu, hendaklah dia berpuasa kerana puasa itu akan bisa menundukkan nafsu syahwatnya.” (Riwayat Bukhari & Muslim)
Sekiranya ibu bapa melambatkan perkahwinan anak, dikhuatiri jatuh dalam kancah zina. Jadi hendaklah diambil langkah pencegahan sebagaimana disebut Nabi Muhammad SAW iaitu kahwinkan anak itu kerana ia akan menundukkan pandangannya serta menjaga kemaluannya.
Alhamdulillah, masyarakat Islam terutamanya masih mengambil berat keutamaan berkahwin, berbeza dengan Barat yang sudah teruk mereka melihat perkahwinan itu suatu yang membebankan, menyusahkan, bahkan merugikan. Kerana itu mereka memilih untuk tidak berkahwin dan tidak membudayakan perkahwinan, sebaliknya mereka panggil budaya partner.
Ini realiti dan jelas meruntuhkan sistem kekeluargaan, kerana kekeluargaan adalah asas dalam kekuatan sesebuah masyarakat. Apabila asas kekeluargaan itu sudah runtuh, maka percayalah masyarakat itu secara automatiknya akan porak-peranda dan hancur.
Masyarakat kita semua setuju keutamaan berkahwin, cuma masalahnya ialah cepat atau lambat. Pada zaman sekarang perkahwinan itu dilambat-lambatkan, bukan saja lelaki tetapi juga wanita.
Di usia 25-30 tahun, mereka masih tidak berkahwin.
Ini adalah permulaan kepada satu malapetaka. Akibatnya, mereka memilih untuk berdating, bercouple, malah ada yang sudah bertunang tetapi bertahun-tahun lamanya.
Apa faedahnya? Ini bukan faedah tetapi mencari bala.
Satu hal yang perlu diingat adalah kesudahan yang baik datang daripada permulaan yang baik. Kalau sesuatu itu dimulakan dengan cara yang sebetulnya, insya-Allah kita akan dapat hasil yang diinginkan.
Sebaliknya kalau permulaan dan persediaan tidak mengikut cara yang betul, bagaimana kita mengharapkan natijah yang baik?
Maka begitulah dalam kekeluargaan, kalau mengimpikan sebuah keluarga yang baik, anak yang soleh, hendaklah perkahwinan dan perhubungan dengan bakal pasangan itu dimulakan dengan cara yang baik.
Adapun couple, dating, dan seumpamanya adalah cara yang tidak baik dan akhirnya boleh mengakibatkan kerosakan.
Berapa ramai emulakan perkahwinan mereka apabila sudah terlanjur? Berapa ramai memulakan perkahwinan apabila sudah ada anak di luar nikah? Bagaimana kehidupan mereka selepas itu?
Tentu akan ada kesan sejarah hitam di dalam keluarga mereka. Maka sebuah institusi keluarga itu perlu dimulakan dengan mengikut telunjuk syarak. Insya-ALLAH kita mendapat hasilnya seperti yang diinginkan.
Post a Comment