Objek Berpatah Balik Belum Di Sahkan Sebagai MH370 | Pihak berkuasa mengesahkan radar tentera telah mengesan satu objek yang berpatah balik di saat pesawat MH370 dikesan hilang namun masih menyiasat jenis sebenarnya objek itu.
Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia, Tan Sri Rodzali Daud berkata, objek itu dikesan pada pukul 2.15 pagi Sabtu lalu di kedudukan Barat Laut Pulau Pinang.
Oleh itu katanya, pihak berkuasa mendapati ada kemungkinan pesawat tersebut berpatah balik selepas kira-kira dua jam berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Beijing, China.
Rodzali berkata ‘plot’ itu dikesan dalam penelitian semula rakaman data militari pada Sabtu. Operasi carian kemudiannya segera diperluaskan ke Selat Melaka daripada lokasi carian asal di Laut China Selatan.
Usaha mencari masih diteruskan di kedua-dua kawasan dengan menggunakan 42 kapal dan 39 pesawat dari 12 negara yang mengambil bahagian.
Dalam pada itu, kerajaan Malaysia telah menghantar nota diplomatik kepada Vietnam semalam supaya pihak berkuasa itu dibenarkan memasuki ruang kedaulatan negara tersebut untuk operasi mencari dan menyelamat pesawat MH370.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata demikian pada sidang akhbar di pusat media di Hotel Sama-Sama di sini hari ini.
sumber
http://www.kosmo.com.my -
Post a Comment