Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) mengenal pasti tiga peniaga yang menyebabkan keracunan makanan lebih 100 pesakit sehingga menyebabkan seorang kanak-kanak lima tahun mati.
Pengarahnya Datuk Dr Anwa Sulaiman berkata, tiga peniaga berkenaan disiasat dan pihaknya kini menunggu laporan penuh sebelum mendakwa tiga peniaga berkenaan mengikut Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988.
Menurutnya, hasil bedah siasat Muhammad Iqbal Rafie Mohd Ilmie, 5, menemui bakteria Salmonella dalam badannya.
“Bakteria itu dikesan menerusi air tulang belakang serta darah dari saluran jantung kanak-kanak itu dan kami yakin punca kematiannya disebabkan bakteria berkenaan.
“Kami percaya bakteria berkenaan datang dari pasar malam di Dataran Shahbandar dan Jalan Hiliran.
“Buat masa ini, kita masih menunggu bukti dan ketiga-tiga peniaga pasar malam terbabit pasti berdepan hukuman sekiranya bakteria berkenaan dikesan di gerai mereka,” katanya yang ditemui ketika melawat pesakit yang mengalami keracunan makanan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, semalam.
Beliau berkata, operasi perniagaan ketiga-tiga peniaga terbabit diarah dihentikan sehingga siasatan JKNT selesai.
Sementara itu, seorang pesakit yang mengalami keracunan makanan, Kamarina Muhammad, 36, berkata, dia terkejut melihat keadaan wad di HSNZ sesak dengan pesakit yang keracunan makanan.
Menurut guru Sekolah Menengah Kebangsaan Pengkalan Berangan, Marang, itu, dua anaknya Khairiah Aleeya Azhar, 9, dan Khairim Asyraf Azhar, 11, turut mengalami gejala sama dengan pesakit lain apabila mengalami cirit-birit serta muntah dan kini terlantar di wad.
“Saya terpaksa mengambil cuti untuk menjaga dua anak yang terlantar di hospital dan ia dipercayai berpunca daripada bakteria yang terdapat dalam nasi goreng.
“Justeru, saya berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan segera dan meminta orang ramai supaya berhati-hati ketika membeli makanan di pasar malam kerana bimbang dijangkiti bakteria,” katanya.
Kes keracunan makanan semakin serius
Kes keracunan makanan di bandar raya ini semakin serius apabila 101 orang dilaporkan mendapatkan rawatan sejak Sabtu lalu.
Kejadian itu dipercayai berlaku selepas pesakit terbabit dijangkiti bakteria Salmonella yang kebanyakannya terdapat pada ayam serta telur haiwan itu.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu Datuk Dr Anwa Sulaiman berkata, sehingga semalam seramai 101 orang mendapat rawatan di hospital dan seorang pesakit berusia lima tahun meninggal dunia kelmarin.
Menurutnya, sehingga semalam, 68 pesakit dimasukkan ke dalam wad termasuk 18 kanak-kanak dan daripada jumlah terbabit, lapan pesakit dibenarkan keluar wad manakala selebihnya dirawat sebagai pesakit luar.
“Kebanyakan kes ini kita dapati hampir keseluruhannya dijangkiti bakteria Salmonella yang terdapat pada ayam serta telurnya yang dimasak dalam nasi goreng putih dan merah, kuetiau serta mi goreng yang dijual di pasar malam Dataran Shahbandar serta Jalan Hiliran.
“Semua sampel najis diambil menunjukkan pesakit terkena jangkitan bakteria Salmonella dan kebanyakan pesakit berasal dari Kuala Terengganu serta Marang,” katanya ketika ditemui sewaktu melawat pesakit di Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini, semalam.
Beliau berkata, semua pesakit dalam wad terbabit kini dilaporkan stabil.–Harian Metro
Post a Comment