SHAH ALAM - Seseorang juruterbang hanya akan mengaktifkan kod rahsia 'tango' atau 'charlie' apabila berlaku kecemasan seperti rampasan pesawat di udara.
Ia disahkan juruterbang berpengalaman mengenai isyarat tango yang didakwa diaktifkan oleh juruterbang Kapten Zaharie Shah setelah pesawat MH370 hilang dari radar menara kawalan selepas 40 minit di udara.
"Setiap juruterbang akan diingatkan mengenai isyarat-isyarat ini. Ia hanya boleh diaktifkan jika rampasan dan tidak pernah menjadi mainan mana-mana juruterbang sebelum ini. Ini etika kami sebagai juruterbang," katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Katanya, pengaktifan kod tersebut untuk memberitahu Pusat Kawalan Trafik Udara Nasional (NATCC) bahawa pesawat yang dikendalikan dalam masalah dan unit kawalan akan mengambil tindakan selanjutnya.
"Kita mempunyai kod rahsia masing-masing, tetapi tango atau charlie adalah sebagai pengenalan jika berlakunya rampasan," katanya.
Ditanya sama ada isyarat itu dikeluarkan menerusi komunikasi juruterbang dengan menara kawalan atau menerusi butang khas, beliau enggan mendedahkan mekanisme itu kerana maklumat itu sulit.
Katanya, NATCC akan memantau dan beritahu pihak keselamatan selain menghubungi juruterbang untuk arahan seterusnya.
"Hanya dua perkataan itu digunakan sebagai isyarat. Ini perkara serius. Jika benar juruterbang telah mengaktifkan isyarat itu, pasti bukan main-main.
"Dua perkataan itu dikhaskan untuk kes-kes rampasan. Isyarat sama juga digunakan pusat kawalan yang akan menghubungi juruterbang jika berlaku kes seumpama itu," katanya.
Berkaitan kes kehilangan pesawat MH370 yang masuk hari kelima semalam, pelbagai spekulasi ditimbulkan termasuk Kapten Zaharie, juruterbang pesawat itu dikatakan menghidupkan isyarat tango bagi memaklumkan menara kawalan bahawa penerbangannya dalam situasi cemas.
Ia diperkuatkan lagi dengan kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengenai empat aspek tumpuan pihak berkuasa mengenai kehilangan pesawat itu, iaitu rampasan, sabotaj, masalah psikologi dan peribadi.
Polis juga tidak menolak kemungkinan berlakunya rampasan ke atas pesawat itu membabitkan perancangan rapi dan berkumpulan.
Post a Comment